Pasukan Penembak Tepat PDRM Cipta Sejarah Di Pertandingan Sharp Blade 2025

26/07/2025 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Pasukan penembak tepat Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengharumkan nama negara apabila berjaya merangkul dua anugerah berprestij dalam pertandingan Sharp Blade 2025 International Sniper Competition di China.

PDRM menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook memaklumkan, pada pertandingan yang berlangsung di Urumqi, Xinjiang, China, pada 13 hingga 19 Julai, pasukan itu dinobatkan sebagai penerima anugerah Best Teamwork serta meraih pingat perak bagi acara Drone Assisted Sniping.

“Pasukan tembak tepat UTK itu terdiri daripada dua pegawai kanan dan empat pegawai rendah polis (operatif) yang pertama kali mewakili negara ke pertandingan berkenaan. Mereka bersaing hebat bersama 55 pasukan daripada 26 negara.

“Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat martabat PDRM di persada dunia, malah turut memperkukuh reputasi UTK sebagai antara pasukan elit bertaraf antarabangsa,” menurut hantaran itu.

Pencapaian cemerlang itu jelas membuktikan ketangkasan taktikal, penguasaan teknologi moden, serta tahap kesiapsiagaan tinggi anggota UTK dalam menghadapi cabaran dan tekanan operasi.

PDRM menerusi hantaran itu turut memaklumkan penyertaan sulung pasukan itu dalam pertandingan antarabangsa berkenaan turut menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga Sang Saka Biru untuk terus mencapai kecemerlangan dan berdaya saing di peringkat global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan