TUDM Hantar Pasukan Ke Kuwait September Ini, Nilai Perolehan 38 Jet Pejuang Legacy Hornet

23/07/2025 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menghantar satu pasukan khas ke Kuwait pada September ini bagi menjalankan penilaian teknikal terhadap 38 pesawat pejuang F/A-18 Legacy Hornet yang ditawarkan kepada Malaysia.

Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata misi penilaian itu dilaksanakan susulan kelulusan rasmi daripada Amerika Syarikat selaku negara pengeluar pesawat.

"Setelah pihak negara pengeluar memberikan kelulusan untuk perolehan pesawat berkenaan, TUDM kini boleh melihat dokumentasi dan rekod berkaitan pesawat berkenaan dan kami telah mempersiapkan pasukan untuk membuat penilaian di sana,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Perintah Ulung Panglima Tentera Udara di Pangkalan Udara Subang, di sini.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim, Panglima Operasi Udara Leftenan Jeneral Datuk Masro Kaliwon, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Tarminzi Mustapha dan Panglima Bantuan Udara Mejar Jeneral Ahmad Khusairi Ahmad Fadhli.

Menurut Muhamad Norazlan, proses penilaian dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu dan akan melibatkan penilaian ke atas semua dokumen dan rekod mengenai pesawat itu. 

Katanya penilaian berkenaan adalah penting bagi melihat aspek kesesuaian pesawat terutamanya melibatkan isu penyelenggaraan.

"Pesawat ini merupakan pesawat terpakai, jadi kita perlu melihat dari pelbagai aspek seperti penyelenggaraan di masa hadapan, tiada guna jika kita mampu beli dalam jumlah yang banyak tetapi tidak mampu untuk menyelenggara pesawat ini untuk operasi kita," katanya.

Mengenai tarikh potensi penyerahan pesawat kepada Malaysia, Muhamad Norazlan menjelaskan bahawa ia bergantung kepada tarikh Tentera Udara Kuwait menerima pesawat F/A-18E/F Super Hornet baharu mereka.

"Saya difahamkan kalau mereka terima empat pesawat baharu, maka empat pesawat (Legacy) boleh diberikan kepada kita. Jika lapan diterima, maka kita juga (TUDM) juga akan terima lapan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan