DUNGUN, 27 Julai (Bernama) -- Seorang wanita dan bayi perempuannya berusia 18 bulan maut, manakala empat lagi ahli keluarga mereka cedera dalam kemalangan di Jalan Kilang Kelapa Sawit dekat Gugusan Rasau Kerteh di sini kira-kira 6 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata Nur Suhailla Azman, 25, maut di tempat kejadian, manakala bayi perempuannya Nur Aira Humaira Mohamad Sharool meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya di sini.
Beliau berkata selain itu suami mangsa Mohamad Sharool Nizam Hamzah, 32, dan anak sulung mereka Nur Aisya Humaira berusia tiga tahun mengalami kecederaan ringan.
“Dua lagi mangsa iaitu ibu kepada Mohamad Sharool, Timah Mohamad, 73, dan anaknya Ruzaimi Abd Rashid, 48, dilaporkan cedera parah.
“Difahamkan ketika kejadian kesemua mangsa yang menaiki sebuah kereta sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Kerteh 4 dari bandar Dungun,” katanya ketika dihubungi.
Maizura berkata mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan, manakala mayat dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial