KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Ketua Agensi Peneraju (KAP) yang terlibat dalam pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 diseru mempergiat usaha promosi dan publisiti pencapaian mereka membanteras rasuah mengikut peranan masing-masing.
Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Idris Zaharudin berkata usaha itu mustahak bagi memperlihatkan iltizam kerajaan dalam menambah baik dan memperkemas tatakelola serta pembanterasan rasuah secara konsisten selain memberikan persepsi positif dalam kalangan masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau berkata dalam Mesyuarat Penyelarasan Prestasi NACS pada 11 Nov 2024 dan 10 Jun tahun ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki telah telah memberikan penekanan mengenai promosi dan publisiti berkenaan.
Selain Pelan Antirasuah Nasional (NACP) katanya pencapaian NACS juga diakui akan menjadi antara faktor penyumbang kepada kejayaan Malaysia meningkatkan reputasi negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) seperti dihasratkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan oleh Shamsul Azri adalah langkah positif dalam memantau dan meningkatkan skor kedudukan negara di samping menunjukkan usaha berterusan daripada semua pihak dan bukan semata-mata di bawah SPRM untuk memerangi rasuah secara berkesan serta memulihkan keyakinan masyarakat terhadap institusi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Sesi Libat Urus Bersama 19 KAP dan Bahagian Dalaman SPRM di Bilik Mesyuarat Utama, BPGN, di sini, hari ini.
Sementara itu, Idris berkata SPRM dan Ketua Pesuruhjaya SPRM mengucapkan tahniah kepada sembilan KAP yang terdiri daripada SPRM sendiri yang telah berjaya menyempurnakan pelaksanaan 10 substrategi di bawah tanggungjawab masing-masing.
“Daripada jumlah tersebut, lima substrategi telah berjaya diselesaikan pada 2024 manakala lima substrategi lagi berjaya diselesaikan sehingga 30 Jun lepas,” katanya.
Pada 9 Julai lepas, Idris turut mempengerusikan Mesyuarat Pra-Majlis Pasukan Petugas Khas CPI sebagai persediaan bagi Mesyuarat Pasukan Petugas Khas CPI yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara pada 15 Julai.
Mesyuarat pada 15 Julai itu turut dihadiri Tan Sri Azam dan ahli Pasukan Petugas Khas CPI yang terdiri daripada ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan dan agensi kerajaan termasuk Transparency International Malaysia (TI-M) serta pakar-pakar yang dilantik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial