Ibu Zayn Rayyan Syak Anak Dicekup Dan Dilarikan 

22/07/2025 09:34 PM

PETALING JAYA, 22 Julai (Bernama) -- Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa dia mengesyaki anak lelakinya itu dicekup dan dilarikan orang semasa mereka menaiki tangga menuju ke kediamannya pada hari kehilangan kanak-kanak autistik itu.

Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata demikian kerana dia tidak mendengar bunyi tapak kasut Zayn Rayyan dan orang berlari semasa mereka menaiki separuh tangga dari tingkat satu ke tingkat dua, Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 5 Dis 2023.

Bagaimanapun, saksi pembelaan pertama itu tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bahawa sebenarnya tiada orang yang cekup atau melarikan anaknya yang berusia enam tahun itu pada hari kejadian.

“Saya syak anak saya dicekup dan dilarikan orang kerana saya langsung tidak mendengar bunyi tapak kasutnya,” katanya pada hari kedua prosiding membela diri dalam kes pengabaian membabitkan kanak-kanak malang itu.

Ismanira berkata pada hari kejadian (5 Dis), dia berjalan di hadapan Zayn Rayyan namun dia tidak menoleh ke belakang pada setiap masa kerana hanya menggunakan deria pendengarannya untuk mengawasi Zayn Rayyan yang berada di belakangnya ketika itu.

Bagaimanapun, Ismanira bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa pemantauan visual dengan mata adalah lebih jelas dan cepat bertindak balas daripada menggunakan deria pendengaran.

Menurut Ismanira, Zayn Rayyan juga tidak pernah keluar rumah tanpanya dan sentiasa berada dalam pengawasan.

Tertuduh juga tidak bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa pada hari kejadian (5 Dis 2023) dia meninggalkan Zayn Rayyan bermain buaian di taman permainan seorang diri dan dia naik ke rumahnya di tingkat dua apartmen berkenaan.

"Semasa berjalan, kadang-kadang Zayn akan berlari di depan atau di belakang saya dalam pengawasan saya. Zayn tahu tangga naik ke rumah dan dia juga kenal rumah kami. 

"Selain rumah, Zayn juga ingat jalan untuk menuju ke tempat yang biasa dia pergi seperti jalan ke rumah datuk dan nenek, jalan ke sekolah dan kedai. Saya kenal bagaimana anak saya. Zayn seorang yang bijak walaupun dia ada kekurangan (autistik), dia tahu rumah dia," katanya.

Semalam, Hakim Dr Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Mereka didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan