Rayuan Pendakwaan Berhubung Pembebasan Isa Samad Didengar 29 Okt

25/07/2025 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan menetapkan 29 Okt ini untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada kesemua sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berkata tarikh pendengaran rayuan akhir itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof, pada prosiding pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

“Pihak-pihak terlibat perlu memfailkan hujahan dua minggu sebelum pendengaran rayuan,” kata Afzainizam ketika dihubungi.

Sementara itu, peguam Siti Sarah Khalil yang mewakili Mohd Isa, 75, berkata mahkamah mengarahkan pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan sebelum atau pada 14 Okt ini dan tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 15 Okt.

Pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan itu pada 7 Mac 2024.

Petisyen rayuan pula difailkan pada 26 Jun dengan pendakwaan mengemukakan 24 alasan mengapa Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila membebaskan Mohd Isa daripada kesemua pertuduhan itu.

Pada 6 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Persekutuan), Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah mengenepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 3 Feb 2021, selepas membenarkan rayuan Mohd Isa.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan