Wakil Syarikat Pembaikan Kapal Rugi RM117,000 Ditipu Tender Palsu Bateri Kapal

17/07/2025 02:51 PM

KUCHING, 17 Julai (Bernama) -- Seorang wakil syarikat pembaikan kapal di Miri mengalami kerugian  RM117,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan membabitkan tawaran tender palsu membekalkan bateri kapal kepada sebuah syarikat perkapalan di Johor.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Isnin selepas mangsa lelaki berusia dalam lingkungan 30-an menyedari dirinya telah ditipu.

"Mangsa menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai 'Balan' menggunakan nombor telefon 019-2768381 yang menawarkan peluang untuk syarikat mangsa menjadi pembekal bateri kapal.

"Tanpa menyedari helah itu, mangsa telah membuat empat transaksi pemindahan wang berjumlah RM117,000 ke dalam akaun yang diarahkan suspek kononnya bagi urusan pembelian bateri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata mangsa hanya menyedari ditipu apabila syarikat perkapalan yang dimaksudkan memaklumkan bahawa mereka tidak pernah membuat sebarang tempahan daripada syarikat mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan