Dua Lelaki Disyaki Along Ditahan Bantu Siasatan Kebakaran Rumah

15/07/2025 05:31 PM

GEORGE TOWN, 15 Julai (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki dipercayai anggota sindiket along, awal bulan ini bagi membantu siasatan kebakaran tiga rumah teres di Tasek Gelugor, 24 Jun lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an ditahan pada 3 Julai dalam dua serbuan berasingan di sekitar negeri ini.

“Mereka dipercayai turut terlibat dalam kejadian khianat simbah cat terhadap sebuah rumah di Tanjong Tokong pada 30 Jun.

“Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa barang kes iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha Y16Z, sepasang rim ranggi, topi keledar, telefon bimbit, beg silang dan pakaian milik suspek.

“Hasil soal siasat, mereka mengaku terlibat dalam kes khianat dengan api melibatkan kebakaran tiga rumah teres dua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Alwi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan hasil siasatan mendapati suspek turut terlibat dalam lima kes simbah cat yang disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang.

Media sebelum ini melaporkan tiga rumah, lima kereta dan empat motosikal di Taman Tasek Gelugor Utama musnah dalam kebakaran pada 4.50 pagi, namun kejadian tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kecederaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan