KUALA TERENGGANU, 14 Julai (Bernama) -- Seorang penjawat awam negeri Terengganu ditahan reman lima hari bermula hari ini kerana disyaki menyalah guna kuasa melibatkan beberapa permohonan tanah kerajaan di negeri ini.
Perintah reman hingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Menurut sumber suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 2 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dari 2019 hingga 2023 apabila terlibat dalam kegiatan seleweng tanah dengan menukar pelan tanah selain mengendalikan beberapa proses berkaitan tanah di negeri ini untuk kepentingan anak-anaknya,” katanya.
Susulan penahanan itu, SPRM Terengganu menyita dua bidang tanah masing-masing berkeluasan kira-kira 9,000 dan 6,000 kaki persegi bagi tujuan siasatan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial