KUCHING, 14 Julai (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM1.6 juta dalam enam serbuan berasingan menerusi Op Taring di beberapa daerah di negeri ini baru-baru ini.
Komander Briged Sarawak SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata operasi membabitkan kerjasama unit risikan dan infantri Batalion 10 dan 11 PGA itu membawa kepada penahanan sembilan individu berusia 24 hingga 62 tahun termasuk seorang warga Indonesia.
Beliau berkata dalam serbuan 7 Julai di Bau, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan selepas didapati membawa 350 kotak makanan sejuk beku tanpa permit menggunakan sebuah lori dengan rampasan dianggarkan berjumlah RM209,600.
Che Ghazali berkata dalam operasi di Sibu pada 8 Julai, PGA menahan dua lelaki masing-masing seorang warga tempatan dan Indonesia berusia 24 serta 40 tahun selepas memeriksa sebuah premis dan kenderaan pacuan empat roda (4WD).
“Turut dirampas 238 kilogram makanan sejuk beku, sebuah forklift dan sebuah kenderaan dengan nilai keseluruhan RM479,099,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan di Lundu pada 9 Julai kerana membawa 230 liter diesel dan 10 tong jerigen menggunakan kenderaan jenis 4WD dengan rampasan dianggarkan bernilai RM81,155.50.
“Di Kota Samarahan pada hari yang sama, dua lelaki tempatan berusia 26 dan 32 tahun ditahan selepas didapati menyimpan 18,000 liter diesel, 17 tangki IBC serta sebuah lori tangki dengan anggaran rampasan RM218,840,” katanya.
Che Ghazali berkata pada 10 Julai pula, PGA telah menyerbu sebuah premis di Kuching dan menemukan 4,500 liter diesel, 13 tangki IBC, dua tangki gelongsor, 25 hos polivinil klorida (PVC), dua enjin pam serta sebuah lori tangki.
“Dua lelaki tempatan masing-masing berusia 28 dan 33 tahun turut ditahan dan rampasan dianggarkan bernilai RM381,060,” katanya.
Beliau berkata serbuan keenam di Bau pada 11 Julai yang menyaksikan PGA menahan lelaki tempatan berumur 62 tahun ketika membawa 4,032 kotak ubat dan herba tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan sebuah 4WD, dengan nilai rampasan berjumlah RM305,161.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial