PGA Rampas Rokok Seludup Bernilai Lebih RM2 Juta

09/07/2025 09:28 PM

KOTA BHARU, 9 Julai (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 merampas rokok seludup dianggarkan bernilai RM2.12 juta dalam tiga serbuan berasingan menerusi Op Taring Alpha 1 di Tumpat, bermula 6 Julai hingga semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata serbuan yang dijalankan bermula 10.45 malam hingga 3.30 pagi itu melibatkan serbuan di Jeti Kampung Kuala Tanjung, Jalan Kampung Morak dan Pantai Geting.

"Hasil serbuan di ketiga-tiga lokasi itu, pasukan operasi merampas sejumlah 1,137,400 batang rokok putih disyaki tidak berkastam.

"Dalam serbuan di Jalan Kampung Morak, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun turut ditahan kerana disyaki mengambil upah menghantar rokok seludup ke lokasi yang telah ditetapkan. Tiada tangkapan dilakukan di dua lokasi lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ros Azhan berkata kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan