IPOH, 13 Julai (Bernama) -- Polis mengklasifikasikan kes penemuan mayat lelaki di dalam gaung di Kampung Batu 23, Jalan Pahang dekat Tapah semalam sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Johari Yahya berkata ia susulan hasil bedah siasat yang dijalankan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pagi tadi yang mendapati punca kematian mangsa akibat dipukul dengan objek tumpul.
"Terdapat kesan lebam dan luka lecet pada kepala, muka, dada, belakang badan serta kedua-dua tangan mangsa dan punca kematian adalah disebabkan multiple blunt trauma akibat dipukul dengan senjata tumpul," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Johari berkata sehubungan itu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Beliau berkata polis telah mengambil cap jari mangsa untuk mendapatkan identiti lelaki itu yang ditemukan berkemeja-T dan berseluar pendek hitam dalam keadaan terbaring di bawah tebing setinggi 15 meter di tepi jalan berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil di balai polis berdekatan atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-4011 222,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial