Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Agrobank Santuni 4,000 Individu Kurang Berkemampuan Menerusi Agrobank X Food4U

11/07/2025 11:15 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Agrobank dengan kerjasama Food4U hari ini melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbaharu, “Agrobank X Food4U” yang menyasarkan pengedaran pek makanan kepada komuniti kurang berkemampuan, khususnya golongan gelandangan di sekitar ibu negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata program itu menyasarkan kira-kira 4,000 penerima manfaat menerusi agihan 400 pek makanan selama 10 minggu bermula hari ini hingga akhir tahun, yang dilaksanakan di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit.

Katanya makanan tersebut disediakan oleh kira-kira 20 kakitangan Agrobank secara sukarela sebagai usaha memupuk semangat kesukarelawanan dan mendekati masyarakat.

“Program ini akan dijalankan setiap minggu pada Khamis atau Jumaat sebagai usaha berterusan kami untuk memastikan keperluan asas seperti makanan dapat disediakan kepada golongan yang memerlukan.

“Kita sedar masih ramai yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan makanan, jadi ini adalah usaha kami membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran inisiatif berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Datin Seri Normah Alwi.

Pada majlis itu, Tengku Ahmad Badli Shah yang turut mengagihkan pek makanan kepada golongan gelandangan berkata program sedemikian berpotensi diteruskan pada tahun-tahun akan datang sekiranya menerima sambutan positif.

“Buat masa ini, kita fokus di sekitar Lembah Klang kerana terdapat ramai gelandangan dan golongan miskin bandar yang memerlukan bantuan.

“Namun, pada masa depan, kita bercadang memperluaskan program ini ke seluruh negara dengan penglibatan kakitangan Agrobank di cawangan lain,” katanya.

Sementara itu, Agrobank dalam kenyataan memaklumkan pihaknya komited melaksanakan pelbagai inisiatif CSR yang memberi impak positif kepada masyarakat.

Sepanjang tahun ini, beberapa program CSR telah dianjurkan termasuk Program Sumbangan "Back To School", pemberian angpau sempena sambutan Tahun Baru Cina serta Majlis Pelepasan Anak Ikan bersempena inisiatif Aquaculture Aspire.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan