Pengusaha Salun, Suami Serta Tiga Individu Didakwa Edar 20kg Pil Kuda

10/07/2025 05:08 PM

PASIR MAS, 10 Julai (Bernama) -- Seorang pengusaha salun dan kedai makan bersama suaminya serta tiga individu lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dadah jenis pil kuda seberat 20 kilogram (kg) di tiga lokasi berasingan minggu lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Nur Ayu Fatihah Zaudi, 34, suaminya Mohd Faizal Ismail, 35, serta Mohamad Farid Ismail, 33, Mohd Khairu Azani Mohd Lawi, 39, dan Mohamad Asmawi Janudin, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Ia kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Faizal didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 115 gram di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia di lorong simpang tiga, Jalan Gajah Mati, Kampung Banggol Chicha di sini, pada 11.15 pagi, 27 Jun lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Faizal dan Nur Ayu Fatihah didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis sama seberat 112 gram di sebuah rumah di kampung sama pada 11.30 pagi, hari yang sama.

Mengikut pertuduhan ketiga, kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 19,866 gram di kawasan ladang lembu di belakang sebuah rumah di kampung tersebut pada 4.30 petang, hari yang sama.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan sehingga 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimi, manakala Mohd Faizal dan Nur Ayu Fatihah diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan, manakala tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 26 Okt ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Terdahulu, media melaporkan taktik licik pasangan suami isteri berkenaan yang dipercayai menyembunyikan dadah jenis pil kuda seberat 19.86 kg di dalam timbunan najis lembu di sebuah kandang terbongkar dalam enam serbuan di Pasir Mas dan Tumpat pada 27 Jun lepas.

Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 35.4 kg dengan nilai RM5.04 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan