BUKIT MERTAJAM, 10 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengeluarkan 45 notis kepada peniaga di negeri itu dalam OP KESAN 4.0 yang dilaksanakan bermula pada 1 Julai hingga semalam.
Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata kesemua notis itu dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi tujuan pengumpulan data.
"Seiring pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) bermula pada 1 Julai lepas, kami telah melancarkan OP KESAN 4.0 bertujuan memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan dengan membuat pergerakan harga sama ada tanpa asas ataupun melakukan pencatutan dengan menjadikan SST sebagai alasan.
"Hingga semalam, kami telah memeriksa 45 premis melibatkan 225 Stock Keeping Unit (SKU), sebanyak 45 notis dan dua aduan berkaitan dengan OP KESAN 4.0 telah diterima serta sedang dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata KPDN Pulau Pinang akan mengambil tindakan tegas sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dikenakan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan.
Dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan OP KESAN 4.0, Jegan berkata KPDN Pulau Pinang akan terus menggerakkan tiga pendekatan, iaitu melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan termasuk mengguna pakai data kutipan harga harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN.
Beliau berkata pendekatan kedua ialah aduan serta laporan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk orang awam manakala pendekatan ketiga merupakan kajian dan risikan pasaran oleh Bahagian Penguat Kuasa.
“Hari ini saya bersama pasukan penguat kuasa KPDN Pulau Pinang telah turun padang ke Pasar raya Wonderful, Machang Bubok bagi mengesan dan mencegah kenaikan harga tidak berasas serta memastikan pematuhan harga yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata fokus utama pemeriksaan adalah terhadap barangan kawalan dan barangan keperluan harian seperti minyak masak, gula, tepung, beras, telur dan ayam serta melibatkan penilaian terhadap sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah serta amalan pencatutan.
Jegan berkata tindakan susulan penguatkuasaan yang akan dilaksanakan terhadap sebarang maklumat pergerakan harga barang dan caj perkhidmatan akan melibatkan penelitian kepada empat elemen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial