BATU PAHAT, 8 Julai (Bernama) -- Seorang warga emas terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian berjumlah RM1.7 juta setelah menjadi mangsa penipuan pelaburan secara dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata lelaki berusia 67 tahun itu pada mulanya terlihat iklan pelaburan terbabit di laman sosial pada Disember tahun lepas yang menawarkan keuntungan tinggi dalam masa singkat.
Tertarik dengan iklan tersebut, beliau berkata pesara itu kemudiannya berhubung dan berurusan dengan seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Mangsa dimaklumkan keuntungan yang ditawarkan adalah sebanyak 50 peratus daripada jumlah pelaburan dalam tempoh tiga bulan. Mempercayai janji tersebut, mangsa telah membuat pembayaran pelaburan antara April hingga Julai tahun ini.
“Selain membuat pembayaran berjumlah RM1.7 juta ke beberapa akaun seperti diarahkan suspek, mangsa turut mengikut arahan dengan memuat turun aplikasi serta mendaftar akaun di aplikasi itu bagi tujuan memantau akaun pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrulanuar Mushaddat berkata menurut mangsa, akaun pelaburannya telah merekodkan keuntungan berjumlah RM2 juta dan berhasrat untuk mengeluarkannya namun diarahkan perlu membuat bayaran tambahan, tetapi mangsa enggan membayarnya.
“Sehingga laporan dilakukan semalam mangsa tidak menerima sebarang pulangan dan suspek gagal dihubungi serta akses ke akaun pelaburannya telah disekat. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan tipu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial