400kg Pukat Hantu Dibersihkan Dari Dasar Pulau Sembilan

03/07/2025 08:52 PM

LUMUT, 3 Julai (Bernama) -- Hampir 400 kilogram (kg) pukat hantu berjaya dikeluarkan dari dasar laut perairan Pulau Sembilan, dekat sini melalui program pembersihan anjuran Jabatan Perikanan Negeri Perak, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata 35 peserta terlibat dalam program itu termasuk 13 penyelam berpengalaman bagi mengeluarkan pukat yang tersangkut di terumbu karang dan dasar laut.

“Program berkenaan disertai Maritim Malaysia Perak, Perbadanan Taman Negeri Perak serta Nature and Oceanography Advocate Society (NOAS) dalam usaha melindungi habitat marin daripada ancaman pukat terbiar di dasar laut.

“Jika tidak dibuang, ia boleh menjejaskan kitaran pembiakan spesies laut dan mengancam bekalan makanan masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata usaha itu bukan sahaja membantu memulihara ekosistem marin, malah turut menjadi wadah memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar.

Selain itu, beliau turut menyeru komuniti nelayan dan penggiat industri perikanan supaya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan peralatan mereka bagi mengelakkan ancaman kepada sumber marin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan