Gagal Lunas Pinjaman Persahabatan RM5 Juta, Mahkamah Isytihar Jovian Mandagie Bankrap

03/07/2025 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengisytiharkan pereka fesyen Datuk Jovian Mandagie bankrap selepas gagal melunaskan pinjaman persahabatan berjumlah RM5.28 juta termasuk faedah kepada syarikat pembinaan kejuruteraan Cekap Air Sdn Bhd.

Penolong Kanan Pendaftar Muhammad Faisal Zulkifli mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan syarikat berkenaan pada 20 Nov 2024 pada prosiding hari ini.

Peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili Cekap Air ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata pihaknya telah memfailkan notis kebankrapan pada 21 Mei 2024 selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus yang diberikan mahkamah pada 2 April tahun sama.

"Selepas mendapat kebenaran untuk mengeluarkan notis kebankrapan terhadap Jovian, kami memfailkan petisyen pemiutang. Pada prosiding hari ini, mahkamah telah keluarkan perintah kebankrapan terhadap Jovian.

"Jovian ada memfailkan pelbagai permohonan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen kebankrapan yang difailkan terhadapnya, tetapi semuanya telah ditolak oleh mahkamah," kata peguam itu.

Berdasarkan petisyen kebankrapan pemiutang, Cekap Air memohon satu perintah kebankrapan terhadap Jovian selaku penghutang kerana gagal membayar RM5,284,340.66 juta termasuk faedah seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi.

Pada 2 April 2024, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin mengarahkan Jovian membayar pinjaman persahabatan terbabit selepas membenarkan permohonan Cekap Air selaku plaintif untuk memasukkan penghakiman terus terhadap pereka fesyen itu.

Rayuan berhubung penghakiman terus akan didengar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 15 Sept ini.

Penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan kes melalui hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.

Jovian disaman oleh Cekap Air pada 16 Mei 2023 selepas didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan dan pengarah syarikat itu, Yong Zhen Wei ialah kenalan kepadanya.

Cekap Air mendakwa syarikat itu telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan Jovian pada 25 Feb 2022 dengan memindahkan wang berkenaan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili pereka fesyen itu dan ia perlu dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Plaintif mendakwa pinjaman itu diberikan dan dilakukan secara lisan serta kasual kerana plaintif dan defendan ialah kenalan dan tidak ada sebab untuk meragui Jovian kerana beliau memiliki beberapa perniagaan lain.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa defendan telah memungkiri perjanjian pinjaman terbabit dan hingga kini gagal membayar semula atau memulangkan kembali wang berkenaan menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian.

Pada prosiding hari ini, Jovian diwakili peguam Nur Irdina Syahirah Mohammad Wardi.

Jovian telah memfailkan pernyataan pembelaan pada 20 Jun 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan