Lelaki Bunuh Rakan Serumah Didakwa Di Mahkamah

03/07/2025 05:15 PM

SHAH ALAM, 3 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan serumahnya di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh dekat sini bulan lepas. 

Faisal Abdul Aziz, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Faisal didakwa membunuh warga tempatan Muhammad Fakhrullah Pauzihal Ali, 33, pada 11.26 malam, 25 Jun lepas. 

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebat minimum 12 kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menetapkan 10 Okt sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia. 

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad dilaporkan berkata pertengkaran akibat bilik bersepah dipercayai menjadi punca pergaduhan dua lelaki itu hingga menyebabkan seorang daripada mereka maut ditikam dalam kejadian berkenaan.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan