Lebih 5,000 Senjata Api Tiruan Dirampas Dalam Serbuan Di Tiga Negeri

01/07/2025 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas lebih 5,000 senjata api tiruan dan menahan enam individu termasuk empat warga asing dalam operasi serentak di tujuh premis di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata operasi yang dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) itu bertujuan membanteras kegiatan penjualan senjata tiruan secara dalam talian.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di dua premis sekitar Kuala Lumpur, empat lelaki warga asing ditahan dan 4,983 laras senjata tiruan bernilai lebih RM4.11 juta dirampas. 

"Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 1,400 kotak makanan ringan yang melanggar peraturan di bawah Akta Makanan 1983.

"Operasi kedua di dua premis perniagaan di Bandar Baru Bangi, Selangor pula membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan serta rampasan 53 laras senjata tiruan dengan anggaran nilai RM31,520.  Premis itu juga didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi ketiga di sebuah kediaman di Batu Pahat, Johor pula membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan rampasan 15 laras senjata tiruan bernilai RM15,000.

Azmi berkata nilai rampasan bagi kesemua operasi dianggarkan RM4.16 juta dan kesemua suspek berusia antara 28 dan 40 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, Akta Imigresen 1959/63, Akta Makanan 1983, dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred serta Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.  

Beliau berkata siasatan awal mendapati senjata tiruan berkenaan dijual melalui platform dalam talian sejak beberapa bulan lepas.

Beliau turut memberi amaran kepada pengendali platform e-dagang dan media sosial supaya memantau aktiviti jualan di platform masing-masing agar tidak menjual barangan yang menyalahi undang-undang. 

"Orang awam juga dinasihatkan agar tidak terlibat dalam membeli atau menyimpan senjata tiruan dan segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan," katanya.

Azmi berkata sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman melaksanakan 153 serbuan dengan 233 tangkapan atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, penjualan senjata tiruan, dan penyeludupan hidupan liar dengan nilai keseluruhan rampasan lebih RM433.3 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan