Polis Lumpuhkan Makmal Proses Cecair Vape Haram, Dadah Bernilai RM21.85 Juta

01/07/2025 06:44 PM

SHAH ALAM, 1 Julai (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan kegiatan memproses cecair rokok elektronik (vape) mengandungi dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM21.85 juta dalam dua serbuan berasingan di kondominium yang dijadikan makmal haram di sekitar Ampang pada 25 Jun lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata menerusi serbuan pertama, pihaknya berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warga asing serta seorang lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bersama peralatan pemprosesan vape.

"Pemeriksaan ke atas premis tersebut menemukan tujuh kartrij vape disyaki mengandungi kokain anggaran berat 0.057 kilogram (kg), selain serbuk dadah disyaki kokain dan cecair disyaki mengandungi dadah jenis MDMA dengan anggaran berat masing-masing 2.7 kg dan 124.6 kg," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Hussein berkata serbuan di kondominimum kedua pada hari yang sama pula menemukan dadah jenis bunga ganja seberat kira-kira 0.041 kg, kartrij vape disyaki mengandungi dadah jenis MDMA (0.14 kg) dan serbuk dadah disyaki kokain (0.056 kg). 

Beliau berkata serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun dan ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati positif dadah jenis morfin.

Huseein berkata hasil siasatan mendapati seorang daripada suspek warga asing itu berperanan sebagai ahli kimia manakala suspek lain bertindak sebagai ‘runner’ dan pembantu kepadanya yang dipercayai aktif sejak Oktober 2024. 

Beliau berkata semakan rekod lampau mendapati dua suspek warga asing lelaki pada serbuan pertama masing-masing mempunyai rekod jenayah seperti pemalsuan dokumen, ugutan jenayah, penipuan, dadah, menganggu ketenteraman awam serta kes mengakibatkan kecederaan.  

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyewa dua unit kondominium dengan sewaan bulanan RM6,000 seunit dan menjadikannya sebagai tempat memproses cecair vape sebelum dipasarkan untuk pasaran tempatan dan luar negara. 

"Keuntungan bersih yang diperoleh sindiket ini hasil daripada aktiviti pengedaran dadah dianggarkan RM200,000 sebulan," katanya. 

Hussein berkata tindakan sitaan turut diambil melibatkan kereta, wang tunai asing dan tempatan, komputer riba, barang kemas dan jam tangan pelbagai jenama dengan nilai sitaan dan rampasan keseluruhan berjumlah RM21.9 juta. 

Beliau berkata kesemua suspek direman tujuh hari hingga esok bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan