Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- ASEAN perlu meningkatkan usaha menerapkan perspektif jantina dalam agenda perniagaan dan hak asasi manusia bagi memastikan pembangunan serantau yang inklusif.
Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Edmund Bon Tai Soon berkata meskipun ASEAN telah mencapai kemajuan dalam mempromosikan kesaksamaan gender, wanita di rantau ini masih berdepan halangan struktur yang menghalang penyertaan penuh mereka dalam membuat keputusan dan kehidupan ekonomi.
“Perniagaan dan hak asasi manusia bukan sekadar mengenai peraturan perdagangan atau tadbir urus, tetapi memberi kesan kepada rakyat terutamanya wanita dan kanak-kanak perempuan serta komuniti terpinggir dan rentan yang sering diketepikan daripada proses membuat keputusan.
“Halangan ini masih berakar dalam masyarakat kita dan terlalu kerap, struktur dan amalan perniagaan kelihatan neutral dari segi gender tetapi secara tidak langsung terus mengukuhkan ketidaksamaan,” katanya dalam ucapan pada Bengkel Serantau mengenai Perspektif Jantina dalam Perniagaan dan Hak Asasi Manusia ASEAN di sini pada Isnin.
Beliau menekankan bahawa diskriminasi gender dalam persekitaran perniagaan kekal menjadi punca dan akibat kepada ketidaksamaan yang lebih meluas, khususnya terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, dan perlu diiktiraf sebagai satu bentuk keganasan.
“Kita lihat di televisyen dan media mengenai perang dan pembunuhan beramai-ramai, itu adalah keganasan secara fizikal yang kita tentang.
“Tetapi diskriminasi struktur dan budaya juga merupakan satu bentuk keganasan, dan saya fikir itu adalah sesuatu yang perlu kita perjelaskan dalam konteks tempatan,” katanya.
Bon menambah bahawa ASEAN perlu memastikan rangka kerjanya mencerminkan realiti kehidupan wanita dan kanak-kanak perempuan selaras dengan piawaian antarabangsa seperti Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGP) mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.
“Memandangkan piawaian global seperti UNGP terus membentuk jangkaan antarabangsa dan peraturan baharu, ASEAN juga perlu bergerak seiring bagi memastikan rangka kerja kita mencerminkan realiti sebenar wanita dan kanak-kanak perempuan di rantau ini, dan mereka tidak dianggap sebagai perkara sampingan dalam pembangunan ekonomi,” katanya.
Bengkel serantau selama dua hari yang diadakan di Kuala Lumpur dari 30 Jun hingga 1 Julai, bertujuan meneroka bagaimana rangka kerja perspektif jantina serantau dapat membantu menangani halangan berasaskan gender, diskriminasi struktur dan budaya serta meningkatkan perlindungan hak asasi manusia wanita dan kanak-kanak perempuan.
Ia disokong bersama oleh Negara Anggota ASEAN melalui Dana AICHR, Kerajaan Jepun melalui Dana Integrasi Jepun-ASEAN (JAIF) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan Malaysia serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial