SHAH ALAM, 24 Jun (Bernama) -- Sebuah kilang pemprosesan plastik di Sabak Bernam didenda RM105,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Selangor atas lima pertuduhan melepaskan pencemar tanpa lesen pada 2023.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor Wandi Yadzid Yaakob dalam kenyataan hari ini memaklumkan mahkamah membuat keputusan itu semalam selepas pengurus syarikat See Hau Global Sdn Bhd, selaku Orang Kena Saman, mengaku bersalah.
Hakim Nurul Mardhiah Mohamed Redza turut menjatuhkan hukuman penjara setahun jika gagal membayar denda itu.
"Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Sabak Bernam di kilang itu pada 27 Dis 2023 telah mendapati efluen perindustrian yang dilepaskan ke longkang awam melebihi kadar dibenarkan,” katanya.
Wandi Yadzid berkata kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibaca bersama Seksyen 25(1) dan Seksyen 25(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak khususnya yang mengendalikan premis industri untuk sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan ditetapkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial