Lima Individu Termasuk Empat Pengarah Syarikat Ditahan Kemuka Butir Matan Palsu

24/06/2025 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan lima individu termasuk empat pengarah syarikat dengan seorang daripadanya warga Bangladesh kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan permit pekerja asing di negeri itu.

Menurut sumber, empat lelaki berkenaan bersama seorang wanita kesemuanya berusia antara 20 hingga 60-an ditahan antara 3 hingga 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek mengemukakan dokumen permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 kepada Jabatan Imigresen Selangor yang mengandungi butir matan palsu dengan niat memperdayakan jabatan terbabit.

“Kesemua suspek melalui syarikat masing-masing dipercayai telah melakukan perbuatan itu antara 2023 hingga 2024,” katanya kepada Bernama.

Mereka direman empat hari bermula hari ini selepas Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Pengarah SPRM Selangor Hairuzam Mohmad Amin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata terdapat tiga individu turut ditahan berhubung kes itu semalam, namun mereka dilepaskan atas faktor kesihatan selepas keterangan masing-masing diambil berserta jaminan RM10,000 dengan dua penjamin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan