KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Pesawat pengangkut jenis CN-235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada pagi tadi dilaporkan mengalami masalah ‘nose landing gear'.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM menerusi kenyataan hari ini mengesahkan berlaku kemalangan melibatkan pesawat berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 11.15 pagi, seperti yang tular di media sosial.
“Pesawat dari No 1 Skuadron Pangkalan Udara Kuching itu telah mengalami masalah ‘nose landing gear' semasa melakukan pendaratan ketika selesai melaksanakan tugasan penerbangan logistik dari Labuan dan Kota Kinabalu.
“Kesemua anak kapal serta penumpang selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. TUDM akan menubuhkan satu lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerusi laman Facebook memaklumkan berikutan insiden itu, landasan di KIA ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja mengalihkan pesawat milik TUDM dan pembersihan landasan dijalankan.
Notis kepada Anak Kapal Udara (NOTAM) telah dikeluarkan dan penutupan itu berterusan hingga 3 petang tadi, dan sepanjang tempoh penutupan landasan semua operasi penerbangan di lapangan terbang berkenaan turut terjejas.
Pihak lapangan terbang akan memberikan maklumat sebaik landasan diisytiharkan selamat dan dibuka semula untuk operasi penerbangan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial