KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Ruang udara di utara Semenanjung bakal digegarkan dengan deruman enjin pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang akan mengadakan latihan penerbangan sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA'25).
TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan latihan penerbangan itu membabitkan pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter melibatkan dua fasa iaitu Fasa 1 bermula 6 hingga 13 Mei di ruang udara Alor Setar dan Butterworth manakala Fasa 2 bermula 14 hingga 19 Mei di ruang udara Langkawi.
“Pelaksanaan latihan itu bertujuan memperkasakan kesiagaan dan kecekapan anak kapal TUDM dalam memberikan persembahan terbaik bagi pembukaan dan pertunjukan udara LIMA’25 nanti.
“Sepanjang latihan berkenaan, pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan tertentu dan latihan ini juga akan melibatkan beberapa siri letupan bagi gimik pembukaan LIMA’25,” menurut kenyataan itu.
Justeru, TUDM ingin memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak cemas atau risau sekiranya melihat pesawat TUDM terbang rendah dan bunyi letupan di sepanjang tempoh latihan dilaksanakan.
Bertemakan “Kemajuan Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan”, LIMA’25 yang akan berlangsung di Langkawi itu antara pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial