Guru Muat Naik Hantaran Jelik Kemalangan Pelajar UPSI, Polis Tunggu Laporan Perubatan

19/06/2025 03:18 PM

IPOH, 19 Jun (Bernama) -- Polis masih menunggu laporan perubatan daripada Hospital Seri Manjung berkaitan keadaan kesihatan seorang guru yang memuat naik hantaran jelik di media sosial mengenai kemalangan bas melibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata setakat ini pihaknya dimaklumkan guru terbabit masih menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Pihak polis telah ambil keterangan guru berkenaan pada 16 Jun lepas dan kita juga telah merampas telefon bimbit peribadi miliknya untuk membantu siasatan.

“Kertas siasatan juga hampir siap untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya. Cuma kita sedang tunggu laporan perubatan guru berkenaan yang dipercayai mengalami masalah psikiatrik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman dilaporkan berkata pihaknya menerima satu laporan pada 11 Jun lepas mengenai hantaran itu daripada akaun Facebook pengguna yang menggunakan nama ‘Khalid Yunus’.

Pada 16 Jun, beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan