Dua Buruh Binaan Maut Kemalangan Di Tampin

19/06/2025 12:37 PM

TAMPIN, 19 Jun (Bernama) -- Dua pekerja buruh binaan maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat kemalangan di persimpangan empat lampu isyarat Kampung Baru Tampin di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata kemalangan pada 9 malam itu, membabitkan sebuah kereta Mitsubishi Xpander dengan motosikal Honda C100 dinaiki mangsa lelaki bersama rakan sekerjanya berumur 32 dan 20 tahun.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati pemandu kereta seorang lelaki berusia 34 tahun dari kuarters kakitangan Hospital Tampin ke Pekan Tampin. 

“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat, pemandu kereta itu meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat hijau. Secara tiba-tiba datang motosikal ditunggang seorang lelaki tempatan bersama pembonceng lelaki warga Bangladesh dari sebelah kanan, lalu melanggar bahagian hadapan kereta berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Tampin semasa menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata pemandu kereta itu hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian dada dan sedang menerima rawatan di Hospital Tampin. 

Mayat penunggang dan pembonceng motosikal dibawa ke unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan