SPRM Tahan ADUN, Ahli Perniagaan Disyaki Terbabit Rasuah Isu Lesen Cari Gali Di Sabah

18/06/2025 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu bergelar “datuk” kerana disyaki meminta dan menerima suapan kira-kira RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di Sabah.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30 dan 60-an itu ditahan kira-kira 9.45 dan 11.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu dan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Kedua-dua suspek terdiri daripada seorang ahli perniagaan dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar 2023 dan 2024.

“Siasatan awal mendapati mereka disyaki saling meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM200,000 antara satu sama lain bagi membantu menguruskan permohonan lesen cari gali di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata seorang daripada suspek yang merupakan ahli perniagaan telah dilepaskan dengan jaminan RM100,000 berserta dua penjamin setelah selesai memberi keterangan.

ADUN itu katanya turut dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan RM50,000 berserta seorang penjamin.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan