PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan Public Bank Berhad membayar ganti rugi berjumlah RM90 juta kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Pengerusinya Datuk Mohamad Salleh Ismail, serta tiga syarikat subsidiari kerana melanggar kontrak berkaitan kerahsiaan akaun bank mereka.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, bersama Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli, serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abu Bakar Jais, menganugerahkan masing-masing RM30 juta sebagai ganti rugi ekuiti, teladan dan teruk.
“Public Bank hendaklah membayar faedah dua peratus setahun ke atas jumlah penghakiman ini bermula hari ini sehingga bayaran ganti rugi diselesaikan,” kata Hakim Hasnah.
Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, beliau berkata para perayu telah mengemukakan laporan kewangan dan akaun beraudit melalui seorang saksi pakar, yang tidak dicabar oleh Public Bank.
Hakim Hasnah turut menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan telah tersilap apabila memutuskan bahawa para perayu gagal membuktikan kerugian, yang menyebabkan hanya RM10,000 diberikan sebagai ganti rugi nominal.
Pada 26 Mei lepas, panel hakim Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang hanya memberikan ganti rugi nominal kepada NFCorp, Mohamad Salleh dan tiga anak syarikat, iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Real Food Company Sdn Bhd.
Mohamad Salleh merupakan suami kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Pada 26 Mei juga, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Public Bank bertanggungjawab atas pelanggaran kerahsiaan. Mahkamah turut memerintahkan bank itu membayar kos guaman sebanyak RM300,000. Penangguhan dibuat hingga hari ini bagi menentukan jumlah ganti rugi.
Pada 2012, NFCorp dan empat pihak lain memfailkan saman berjumlah RM560 juta terhadap Public Bank berhubung kebocoran maklumat perbankan mereka. Mahkamah Tinggi menolak saman tersebut pada 2019, namun Mahkamah Rayuan pada 2023 membatalkan keputusan itu selepas membenarkan rayuan mereka.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan ketika itu berpendapat bahawa walaupun NFCorp dan empat pihak lain berjaya membuktikan liabiliti, mereka gagal membuktikan kerugian, dan mahkamah hanya menganugerahkan RM10,000 sebagai ganti rugi nominal.
Dalam saman tersebut, NFCorp dan empat pihak lain mendakwa pihak bank telah melanggar kerahsiaan dengan membenarkan butiran transaksi perbankan mereka didedahkan oleh ketika itu Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.
Mereka turut mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka telah mengalami kerosakan yang tidak dapat dipulihkan akibat pelanggaran tersebut di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).
Selepas prosiding mahkamah, Mohamad Salleh menzahirkan rasa syukur dan berkata keluarganya telah menempuh pelbagai kesukaran selama 13 tahun akibat kes tersebut.
Dalam prosiding hari ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili NFCorp dan empat pihak lain, manakala Public Bank diwakili peguam Chan Kok Keong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial