DUNIA > BERITA

Bekas Presiden Argentina, Kirchner Akan Jalani Hukuman Penjara 6 Tahun Di Bawah Tahanan Rumah

18/06/2025 06:16 PM

ISTANBUL, 18 Jun (Bernama-Anadolu) -- Bekas Presiden Argentina, Cristina Fernandez de Kirchner akan menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah di bawah pelaksanaan tahanan di rumah, menurut keputusan seorang hakim persekutuan pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Mahkamah memutuskan bahawa penahanan di rumah terhadap Kirchner, 72, adalah wajar berdasarkan faktor usia dan kedudukannya sebagai tokoh politik berprofil tinggi.

Keputusan itu turut mengambil kira kebimbangan terhadap keselamatannya, merujuk kepada cubaan bunuh terhadap Kirchner pada 2022 dan menyatakan bahawa keselamatannya “boleh menjadi rumit sekiranya ditahan dalam penjara bersama banduan lain.”

Menurut keputusan itu, Kirchner mesti mula menjalani hukuman serta-merta.

Beliau akan dipantau secara elektronik dan hanya dibenarkan berada dalam kediamannya di Buenos Aires, yang turut dihuni anak perempuan dan cucunya.

Mahkamah turut menetapkan bahawa Kirchner “mesti kekal di alamat berdaftar dan tidak boleh meninggalkannya kecuali dalam situasi luar biasa.”

Sebarang lawatan ke kediaman itu selain kakitangan rumah, petugas perubatan atau individu yang diberi kebenaran, perlu mendapat kelulusan mahkamah terlebih dahulu.

Kirchner dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan diharamkan seumur hidup daripada memegang jawatan awam pada 2022 atas kesalahan rasuah, namun beliau kekal bebas sementara menunggu semakan Mahkamah Agung terhadap rayuannya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan