JOHOR BAHRU, 18 Jun (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang pekerja wanita yang dipukul majikan dalam kejadian di sebuah pejabat di Taman Kota Masai, Pasir Gudang di sini pada 15 Mei lepas, mempunyai masalah kesihatan lain sebelum insiden itu dilaporkan berlaku.
Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata berdasarkan laporan perubatan dari pihak hospital turut menyatakan bahawa wanita berusia 34 tahun itu hanya mengalami kecederaan calar serta kesan lebam akibat kejadian berkenaan.
"Wanita berkenaan memang sudah ada penyakit dan perlu membuat pembedahan dan tiada kaitan atau disebabkan daripada kes (kejadian) itu.
"Kita telah bawa perkara itu kepada pegawai perubatan dan mereka mengesahkan ia kecederaan kecil dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,’’ katanya kepada pemberita di Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang tular di media sosial bahawa wanita itu perlu menjalani rawatan dan pembedahan di hospital disebabkan kecederaan akibat kejadian itu.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan dan telah diserahkan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk pertuduhan.
Mohd Sohaimi sebelum ini dilaporkan berkata pihak polis menjalankan siasatan susulan video rakaman yang tular memaparkan seorang wanita dikasari majikannya di sebuah pejabat dan laporan daripada wanita itu diterima pada hari sama sekitar 5.53 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial