Lapan Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Kampung Petagas, Putatan

16/06/2025 11:05 PM

PUTATAN, 16 Jun (Bernama) -- Lapan buah rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Petagas petang ini.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata kejadian yang berlaku kira-kira 4 petang itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Seri Putatan untuk menempatkan mangsa terlibat.

"Proses pendaftaran mangsa sedang dijalankan dan pihak kerajaan negeri akan memastikan bantuan segera disalurkan kepada mereka yang terjejas," katanya yang juga Ahli Parlimen Putatan ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan Zainuddin Saidi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4 petang, sebelum 22 anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian, dengan turut dibantu pasukan dari BBP Penampang, BBP Kota Kinabalu dan BBP Tuaran.

“Pasukan operasi terus melaksanakan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 122 meter dengan empat pancutan dari jentera dan sumber air terbuka,” katanya.

Kebakaran berjaya dikawal pada 4.55 petang dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Pegawai Kanan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Alfian Salioh berkata seorang anggota bomba berusia 27 tahun cedera dipercayai terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja-kerja pemadaman.

“Anggota terbabit dihantar ke hospital menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Anggota terbabit masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth II dan  dalam keadaan stabil,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan