SHAH ALAM, 16 Jun (Bernama) -- Selain berdepan cabaran mengangkut 94,000 tan metrik sampah sarap dari Sungai Klang, projek mitigasi banjir di bawah inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) turut menemukan lebih 10 mayat termasuk bayi sejak projek mula dilaksanakan pada Nov 2022.
Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Syaiful Azmen Nordin berkata terkini, pihaknya menjumpai tiga mayat untuk tiga hari berturut-turut di sekitar kawasan Kota Kemuning pada Mei lepas yang memaksa kerja-kerja pengorekan dan mendalamkan sungai dihentikan sementara.
“Setakat ini, kami telah menyerahkan lebih 10 mayat termasuk mayat bayi kepada pihak polis dan bomba untuk siasatan lanjut.
"Biasanya, mayat yang ditemukan berada dalam keadaan sempurna dan masih kuat meskipun tidak berpakaian termasuk mayat bayi yang dijumpai di dalam interceptor yang sedang memerangkap sampah sarap di permukaan air,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas melawat tapak projek mitigasi banjir di Kota Kemuning, di sini hari ini Syaiful Azmen berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak polis dan bomba untuk menjalankan siasatan di lokasi, antara lain bagi memastikan kerja-kerja yang terpaksa dihentikan dapat disambung segera.
Beliau berkata selain penemuan mayat, pasukan pelaksana projek turut berdepan isu pencemaran sungai yang teruk apabila menemukan pelbagai jenis sampah berat seperti peti sejuk, tayar lori, sofa, katil, tilam serta motosikal di dasar Sungai Klang.
Katanya, penemuan mayat serta tahap pencemaran sungai yang serius sedikit sebanyak mengganggu atau memperlahankan kerja-kerja mengorek dan mendalamkan sungai yang sedang berlangsung.
“Bagaimanapun, penemuan mayat dan sampah sarap ini tidak akan mematahkan semangat kami untuk menyudahkan misi melebar dan mendalamkan Sungai Klang dengan sasaran pertambahan kapasiti air sekurang-kurangnya 40 peratus hingga hujung tahun ini," katanya.
Terdahulu, Syaiful Azmen mengetuai Lawatan Tapak Projek Mitigasi Banjir di Kota Kemuning yang turut dihadiri wakil pelbagai agensi termasuk kerajaan negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial