JOHOR BAHRU, 14 Jun (Bernama) – Ketua Polis Johor CP Datuk M. Kumar menafikan sebuah video tular di platform TikTok yang memaparkan individu didakwa menyerupai beliau menerima bantuan daripada ‘Datok Abdul Malik’.
Kumar dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa video itu adalah tidak benar dan telah dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Video tersebut, yang dikaitkan dengan penerimaan bantuan daripada individu bernama Datok Abdul Malik dan kononnya telah dimasukkan ke dalam bank, adalah palsu dan tidak berasas,” katanya.
Sehubungan itu, satu laporan telah dibuat oleh pegawai Unit Media Polis Johor bagi menafikan kesahihan video tersebut dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 419 dan Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut Kumar, polis Johor memandang serius penyalahgunaan teknologi seperti AI bagi tujuan penipuan dan fitnah yang boleh mencemarkan nama baik mana-mana pihak.
Orang ramai dinasihat supaya tidak menyebarkan semula video itu dan sentiasa membuat semakan kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau berkongsi kandungan di media sosial manakala individu yang mempunyai maklumat berhubung penyebarannya diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial