Pengurus Jualan Rugi Lebih RM300,000 Terperdaya Pelaburan Saham Tidak Wujud

14/06/2025 10:05 PM

SEREMBAN, 14 Jun (Bernama) -- Seorang pengurus jualan di sebuah kilang swasta di Nilai dekat sini mengalami kerugian RM389,000, selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham menerusi media sosial Facebook yang menjanjikan keuntungan lumayan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata lelaki tempatan berusia lewat 40-an itu mendakwa berurusan dengan individu yang menawarkan skim pelaburan berkenaan pada 19 April lepas, sebelum diminta memuat turut sebuah aplikasi “P3X” ke dalam telefon bimbitnya.

“Dia yang berminat dengan skim berkenaan kemudian memindahkan wang ke dalam enam akaun yang diberikan individu itu menerusi sembilan transaksi, dengan keseluruhan berjumlah RM389,000 untuk tujuan pelaburan terbabit.

“Mangsa menyedari telah ditipu selepas aplikasi yang dimuat turun tidak dapat diakses olehnya, selain tidak dapat mengeluarkan keuntungan seperti yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis pada 2.50 petang tadi,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata susulan itu satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Abdul Malik menasihatkan orang awam supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum menyertai apa-apa pelaburan dan tidak memberikan maklumat bank kepada individu tidak dikenali.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan