IPOH, 13 Jun (Bernama) -- Hanya selepas 11 tahun seorang pesara doktor menyedari ditipu dan terpaksa menanggung kerugian lebih RM3.9 juta selepas menyertai satu skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata laporan polis berhubung kes berkenaan dibuat oleh lelaki berusia 74 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.
“Suspek telah menawarkan satu skim pelaburan kepada mangsa dan mangsa berminat untuk menyertainya disebabkan suspek merupakan rakan kepada mendiang isterinya.
“Bermula pada 17 Disember 2014 hingga 9 April 2025, mangsa memaklumkan telah menyerahkan wang berjumlah RM3.9 juta kepada suspek secara tunai atau dimasukkan ke akaun bank atas nama suspek,” katanya.
Nor Hisam berkata sejak menyertai skim berkenaan, warga emas itu mula rasa ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan melalui pelaburan yang dibuat.
“Suspek turut memberikan pelbagai alasan setiap kali mangsa bertanyakan tentang pelaburan yang dibuat,” katanya.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan janji pulangan pelaburan yang tinggi dalam masa singkat, semak terlebih dahulu sama ada pelaburan itu berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial