Empat Ditahan SPRM Disyaki Seleweng Dana NGO, Akaun Berjumlah RM5 Juta Dibekukan

12/06/2025 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk tiga ahli jawatankuasa sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana milik NGO di tempat mereka bekerja.

Menurut sumber, suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan antara 4 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM, Melaka.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2015 hingga 2025. Mereka telah bersubahat bersama pengerusi NGO tersebut yang menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana bagi kepentingan peribadi,” katanya.

Susulan penahanan itu, SPRM menyita wang tunai berjumlah RM900,000, barang kemas, sembilan lot tanah di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor dan empat unit rumah di Melaka selain membekukan 14 akaun terdiri daripada lapan akaun individu dan enam akaun syarikat berjumlah kira-kira RM5 juta.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin membenarkan kesemua suspek direman tujuh hari hingga Selasa depan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Melaka pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

– BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan