TEMERLOH, 12 Jun (Bernama) -- Pemandu kereta dipercayai terlibat dalam kemalangan maut mengorbankan dua remaja perempuan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail di sini semalam direman tujuh hari.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata lelaki berusia 38 tahun dan beralamat di Kepong, Kuala Lumpur itu ditahan bermula hari ini hingga 18 Jun.
“Suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini Mazlan dilaporkan berkata pemeriksaan ke atas kereta terbabit menemukan beberapa peket plastik disyaki mengandungi dadah syabu dan heroin yang dianggarkan bernilai lebih RM6,000.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, penunggang motosikal Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri dan pemboncengnya, Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, masing-masing berusia 18 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian, dipercayai dirempuh sebuah kereta Perodua Bezza ketika berhenti di lampu isyarat merah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial