JOHOR BAHRU, 12 Jun (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan cubaan sindiket pengedaran dadah menggunakan kurier seberat 10.194 kilogram bernilai RM955,687 di sini, April lepas.
Pengarah Kastam Johor Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata dalam operasi yang dijalankan pada 3.35 petang, 23 April lepas itu, pasukan penguat kuasa melakukan pemeriksaan ke atas dua kotak bungkusan beralamat dari Hong Kong di sebuah pusat mel dan kurier sekitar sini.
“Hasil pemeriksaan terhadap setiap kotak itu, pasukan telah menjumpai dua bungkusan gula-gula yang diletakkan di atas satu botol putih yang mengandungi cecair bewarna hitam.
“Ujian dan saringan awal terhadap cecair hitam itu mendapati ia dadah jenis morfin,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Aminul Izreen berkata dua kotak itu dialamatkan kepada seorang penama di sebuah rumah teres dua tingkat di Pulai, Johor, dan diikrarkan sebagai makanan.
Bagaimanapun, status pemilikan rumah itu masih dalam siasatan dan usaha mengesan sindiket dan pemilik parcel sedang giat dilakukan.
Beliau berkata pada tahun ini sahaja sebanyak lima kes pengedaran dadah menggunakan kurier telah direkodkan di negeri ini yang turut melibatkan dadah seperti ganja.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial