IPOH, 11 Jun (Bernama) -- Polis menemukan dadah seberat 123.2 kilogram (kg) bernilai RM4, 667, 850 dalam sebuah kereta utiliti sukan (SUV) yang ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Loji Taman Pulai Savana, Gerik pada 6 Jun lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata laporan berhubung penemuan dadah dalam kereta Honda HRV itu diterima melalui aduan awam kira-kira 1 pagi.
“Penemuan kedua-dua jenis dadah ini juga antara rampasan terbesar yang dilakukan polis Perak pada tahun ini.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis menemukan 80 peket plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 82.8kg serta 39 peket lutsinar dadah jenis ketamin seberat 40.4kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Noor Hisam bagaimanapun berkata polis tidak menemukan pemandu atau penumpang, dan kereta itu didapati kereta klon berdasarkan pemeriksaan nombor enjin.
Beliau berkata dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan dan bagi kegunaan dianggarkan 350,000 penagih.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial