KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan lokasi terakhir lelaki warga United Kingdom (UK) dikesan sebelum dia dilaporkan hilang sejak 27 Mei lepas adalah di Bangsar di sini.
Susulan daripada laporan kehilangan Jordan Michael John Johnson-Doyle, 25, yang dibuat bapanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, 2 Jun lepas, Ku Mashariman berkata polis telah menjalankan operasi besar-besaran di sekitar lokasi terbabit.
“Pada 4 petang hari ini juga kita menjalankan operasi dengan seramai 30 anggota dikerah ke sebuah tapak pembinaan di Lorong Maarof dan pada 5 petang tadi, satu mayat telah dijumpai. Namun saya ingin menegaskan identiti mayat itu belum lagi kita dapat kenal pasti kerana proses (mengenal pasti identiti) tersebut akan mengambil sedikit masa.
“Tempat di mana mayat itu dijumpai agak tersorok dan berada di kawasan yang agak sukar untuk dibawa keluar. Jadi saya minta supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi sama ada berkaitan dengan kehilangan orang hilang yang dilaporkan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati pasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan Polis Kuala Lumpur serta anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai berada di tapak pembinaan itu.
Mayat dipercayai seorang lelaki warga asing itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan pakaiannya sudah hampir terlucut di lubang Shaft Lif aras bawah di tapak pembinaan itu.
Ku Mashariman berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) manakala punca kematian masih dalam siasatan.
Mayat dibawa keluar kira-kira 9.30 malam ini dan akan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) proses bedah siasat dan pengecaman mayat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial