KOTA BHARU, 28 Mei (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan berdepan peningkatan ketara kes penemuan ular sejak bermulanya musim panas dan kering, dengan purata 30 kes direkodkan setiap hari.
Pengarah APM Kelantan Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata tiga daerah utama yang mencatat jumlah kes tertinggi ialah Kota Bharu, Bachok, dan Pasir Mas.
“Sejak awal Mac lepas, peningkatan kes mula ketara dan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 3,625 kes tangkapan telah direkodkan di seluruh negeri,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 867 kes direkodkan pada Januari, 937 kes (Februari), 970 kes (Mac) dan 851 kes (April).
“Kami juga menjangkakan trend peningkatan akan berterusan sepanjang Mei dan jumlah kes meningkat berbanding tahun lepas yang mencatatkan keseluruhan 11,260 kes sepanjang tahun,” katanya.
Beliau berkata APM telah menempatkan dua pasukan khas di Kota Bharu yang melibatkan lebih 10 anggota bagi memberi respons segera terhadap aduan yang diterima.
Mohd Adzhar berkata kebanyakan ular yang ditangkap ialah spesies ular tedung, tedung senduk dan ular sawa.
“Oleh itu, APM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kawasan kediaman mereka dalam keadaan bersih dan tersusun selain mengubah kedudukan barang bagi mengurangkan risiko kehadiran ular.
“Pada musim panas ular biasanya akan mencari tempat bersembunyi yang lebih sejuk, termasuk di dalam rumah,” katanya.
Adzhar berkata pihaknya menyarankan orang awam supaya mempunyai pengetahuan asas dalam mengenal pasti jenis ular berbisa dan tidak berbisa sebagai langkah keselamatan awal.
“Pencegahan boleh bermula di rumah dengan memastikan persekitaran sentiasa bersih, tersusun dan tidak menjadi tempat persembunyian ular,” katanya.
Selain kes melibatkan ular, APM juga turut menerima kes melibatkan aduan tebuan dan biawak masuk ke dalam rumah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial