KOTA BHARU, 23 Mei (Bernama) -- Seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian menyimbah cecair dipercayai asid terhadap pemilik spa di Beris Kubur Besar di Bachok pada Sabtu lepas, direman tujuh hari bermula hari ini hingga 29 Mei.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid selepas membenarkan permohonan daripada polis bagi membolehkan lelaki berusia 45 tahun itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, lelaki terbabit yang memakai baju lokap polis serta pelitup separuh muka tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada 10.30 pagi.
Semalam, media melaporkan seorang suspek wanita berusia 38 tahun direman lima hari bermula semalam di Mahkamah Majistret Bachok berhubung kes yang sama.
Sabtu lepas, seorang peniaga wanita disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang.
Akibat serangan itu, mangsa melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki.
Bagaimanapun dia kini dilaporkan stabil dirawat di Wad Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial