Pemungut Kelapa Sawit Didenda RM3,000 Buat Komen Lucah

23/05/2025 02:30 PM

SEPANG, 23 Mei (Bernama) -- Seorang pemungut buah sawit dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat komunikasi jelik mengenai bayi perempuan seorang pakar bedah, tiga tahun lepas.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Nasir Kadiri, 58, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Ahmad Fuad menasihati OKS supaya lebih berhati-hati ketika membuat sebarang komen melalui media sosial.

"Apabila telefon berada di tangan, kita boleh buat pelbagai komen, kita boleh tohmah atau fitnah sesiapa sahaja. Contohnya seperti kesalahan kamu hari ini, semuanya dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," katanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook atas nama "Bro Nasir" menerusi pautan https://www.facebook.com/nasir.kadiri.1 secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu telah dilihat di Tingkat 8, Menara MCMC, Cyberjaya, dekat sini pada 11.52 pagi, 3 Jan 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran agar OKS tidak mengulangi kesalahan sama.

"OKS seharusnya diberi pengajaran dan peringatan agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan media sosial sebagai satu platform untuk menyatakan perkara lucah.

"Jika dilihat daripada fakta kes yang dikemukakan, komen itu dibuat terhadap seorang bayi yang tidak boleh berkata-kata. Ibu bayi itu telah membuat aduan kepada MCMC," katanya.

Fadhli juga memohon mahkamah mempertimbangkan trend hukuman semasa di bawah Seksyen 233 yang menjatuhkan hukuman denda dalam lingkungan RM7,000 hingga RM9,000 bagi kesalahan berkaitan komen lucah.

OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan tidak berkemampuan dan menanggung seorang anak yang masih belajar.

"Saya mengaku bersalah dan saya merayu hukuman diringankan kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap… ini kesalahan pertama saya, saya menyesal, bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan