SPRM Panggil Semula Individu Terlibat Video Rasuah ADUN Sabah

22/05/2025 07:24 PM

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semula semua individu yang didakwa terbabit dalam skandal rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata arahan itu susulan pihaknya telah memperoleh laporan forensik berkaitan rakaman video yang tular di laman sosial tahun lepas.

“Laporan forensik sudah siap dan diserahkan kepada pegawai penyiasat, laporan terbabit diserahkan kepada pegawai penyiasat sejak seminggu lalu.

“Arahan saya adalah pegawai penyiasat perlu memanggil semula semua mereka yang dikatakan terbabit sama ada dalam video itu, yang memegang video itu dan sebagainya untuk dirakamkan percakapan bagi menentusahkan kandungan dalam video berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketulenan video berkenaan selain mahu siasatan diselesaikan dalam tempoh sebulan.

“Saya tidak mahu memberi sebarang ulasan tentang hasil daripada video itu sama ada tulen atau tidak tetapi yang penting, kita jalankan siasatan dan memanggil mereka untuk memberi keterangan tentang apa yang ada di dalam video itu.

“Timbalan Pendakwa Raya akan melihat tentang hasil forensik berkenaan untuk menentusahkan sama ada ia adalah asli atau tidak dan sebagainya untuk dibuat keputusan,” katanya.

Pada bulan lepas, lapan ADUN Sabah dipanggil semula untuk mengesahkan kandungan beberapa rakaman video yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes itu.

Sebelum ini, tular rakaman video yang didakwa memaparkan perbualan berkaitan rasuah antara individu tertentu dan beberapa wakil rakyat Sabah berhubung isu pelesenan mineral di negeri itu.

SPRM memaklumkan telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu dan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk analisis forensik digital terhadap bahan bukti berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan