KPKT Serah Dokumen Projek MyKiosk Kepada SPRM

22/05/2025 05:42 PM

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini menyerahkan dokumen berkaitan Projek MyKiosk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai komitmen kementerian dalam memastikan ketelusan serta integriti projek tersebut.

KPKT menerusi kenyataan hari ini memaklumkan dokumen berkenaan diserahkan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali di Ibu Pejabat SPRM di sini berikutan dakwaan berlaku penyelewengan dalam pelaksanaan projek MyKiosk.

Menurut kenyataan itu, KPKT yang diwakili Mohd Fadzli bersama pasukan kementerian tampil secara sukarela memberikan kerjasama penuh dengan menyerahkan dokumen berkaitan inisiatif MyKiosk meskipun belum menerima mana-mana permintaan daripada pihak SPRM.

“Ini membuktikan komitmen tinggi kementerian dalam memperkukuhkan sistem pengurusan dan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik. 

“KPKT juga ingin memastikan tiada elemen salah guna kuasa atau penyelewengan terlibat dalam pelaksanaan program MyKiosk yang bertujuan untuk memanfaatkan penjaja kecil,” menurut kenyataan itu. 

Menurut KPKT, pihaknya sentiasa komited memastikan semua inisiatif dan program kerajaan dilaksanakan dengan penuh integriti.

Menurut keyataan itu, dengan menyerahkan dokumen tersebut kepada SPRM kementerian berharap dapat memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa setiap urusan dan pelaksanaan program telus dan mengikut prosedur yang betul.

KPKT turut memaklumkan semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk telah dilaksanakan oleh 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sebut harga terbuka. 

Menurut kenyataan itu, hasil daripada proses tender tersebut 795 kontraktor telah dilantik oleh PBT di seluruh negara.

“Kos siling bagi MyKiosk 2.0 adalah RM25,000. Harga bagi setiap unit kiosk adalah munasabah dan membolehkan kontraktor bersaing secara adil melalui proses sebut harga yang telus dan terbuka di peringkat PBT masing-masing. 

“Kesemua peruntukan berkaitan MyKiosk telah disenaraikan dalam Inisiatif Belanjawan dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan mengikut prosedur yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan