Pemandu Pacuan Empat Roda Dikhuatiri Lemas

21/05/2025 09:54 PM

GUA MUSANG, 21 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya gagal melepas arus deras ketika cuba menyeberang Sungai Tendrik, Pos Bihai, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Ya, saya sahkan ada menerima laporan kejadian itu namun polis masih lagi menyiasat," katanya.

Seorang lagi pemandu pacuan empat roda Maszlan Mohamad, 53, berkata dia dimaklumkan mengenai insiden itu oleh dua penumpang kenderaan terbabit yang sempat menyelamatkan diri.

“Mereka tiba di sungai itu pada 5.30 petang ketika hujan lebat namun pemandu berkenaan tetap nekad meneruskan perjalanan pada 8.30 malam semalam walaupun arus masih deras kerana bimbang lewat tiba di rumah kongsi di Kampung Pahong, Pos Bihai,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, seorang daripada penumpang yang terselamat mengalami kecederaan kaki ketika berusaha menyelamatkan diri dengan memecahkan tingkap dan berenang ke tebing.

Maszlan berkata dia turut ke lokasi kejadian dan mendapati kenderaan tersebut berada di dalam sungai namun pemandunya tidak kelihatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan