Kerani Rugi Lebih RM649,000 Terpedaya Pelaburan Tidak Wujud

21/05/2025 01:35 PM

KUANTAN, 21 Mei (Bernama) -- Seorang kerani wanita mengalami kerugian lebih RM649,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud yang diiklankan di laman Facebook.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata pada awalnya mangsa berusia 52 tahun itu melihat iklan mengenai pelaburan saham di laman sosial tersebut sebelum dimasukan dalam kumpulan WhatsApp.

“Mangsa telah membuat transaksi menggunakan wang simpanannya antara 20 Mac hingga 9 Mei lepas ke beberapa akaun syarikat yang diberikan suspek.

“Bagaimanpun, mangsa mula menyedari ditipu selepas membuat semua pindahan wang itu dan pelaburan tersebut tidak mendatangkan pulangan seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Beliau berkata wanita itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Azry Akmar menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum terlibat dalam sebarang skim pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

“Jangan mudah terpengaruh dan pastikan semua maklumat disemak melalui saluran yang sah seperti pautan https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan