Polis Tahan Dua Lelaki, Selesai Kes Samun Berkawan Babitkan Tujuh Kedai Serbaneka

13/05/2025 11:03 AM

KOTA BHARU, 13 Mei (Bernama) -- Polis berjaya menyelesaikan kes samun berkawan membabitkan tujuh kedai serbaneka di sekitar Kota Bharu dalam tempoh kurang 72 jam, selepas menahan dua suspek di Jalan Sultanah Zainab semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata dua lelaki berumur dalam lingkungan 20-an itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama anggota Balai Polis Kota Bharu kira-kira 6.45 pagi.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam enam kes samun berkawan di premis 7-Eleven dekat Pengkalan Chepa serta Kota Bharu, dan mereka juga didapati sedang merancang untuk melakukan samun di sebuah lagi kedai serbaneka 7-Eleven dekat Jalan Sultan Ibrahim pada 6 pagi semalam.

“Polis turut merampas sepucuk pistol tiruan Walther P99, dua motosikal dan beberapa barangan peribadi yang dipercayai digunakan semasa menyamun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusoff berkata ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Kota Bharu untuk permohonan tahanan reman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan